PUNCA AJAI KECEWA DENGAN INDUSTRI....FOKUS PADA KEDAI MAKAN!!


Komposer serba boleh, Ajai mahu berhijrah dan meninggalkan kerjaya seni? Berita mengejutkan itu disampaikan isterinya merangkap pengurus, Liza Ilyas melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Benarkah perkara itu atau pun sekadar gurauan dan gimik? Puas ditanya mengapa tindakan itu mahu diambil Ajai secara tiba-tiba, Liza hanya mendiamkan diri dan meminta bertanya sendiri kepada tuan punya badan.

Bertemu dengan Ajai atau Faizal Maas baru-baru ini, merungkai segala persoalan ditimbulkan isterinya, malah mengakui dia berasa kecewa dengan situasi industri sekarang.

Katanya, rasa kecewa itu bukanlah membabitkan perkembangan dirinya sebaliknya kekecewaan dialami berpunca kepada beberapa penggiat yang menjadi tulang belakang kepada beberapa pertubuhan.

“Pada saya sebagai komposer dan terbabit dalam industri muzik tempatan hampir 35 tahun, ia saya lihat sedang berkembang sangat baik dan positif.

“Kita juga dapat lihat bagaimana penggiat muda dan baru hadir dengan muzik lebih segar dan kemajuan teknologi yang ada membolehkan pasaran muzik berkembang dengan baik dan lebih ke hadapan.

“Tapi saya kecewa dengan beberapa penggiat yang menjadi tulang belakang kepada beberapa pertubuhan,” katanya.

Ajai hairan bagaimana mereka mentadbir perjalanan industri kerana banyak kepincangan berlaku. Katanya, perkara itu membuatkan dia berasa penat.

“Bayangkan sepanjang 35 tahun berhempas pulang membangunkan industri, tiba-tiba mereka ini datang dan terus hendak merosakkan.

“Walaupun mereka ditugaskan oleh penggiat untuk menjaga kepentingan mereka, tetapi ia tidak berlaku. Malah mereka menggunakan kuasa dimiliki untuk memberikan kelebihan kepada kroni mereka,” katanya.

Perkara seperti itu kata Ajai, menyebabkan industri muzik menjadi tidak sihat dan ada antara penggiat muda berbakat besar tidak dapat ke hadapan kerana peluang mereka tertutup sama sekali.

“Lebih memburukkan keadaan, ada antara orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pertubuhan atau persatuan membabitkan penggiat seni muzik ini bukanlah dalam kalangan orang industri muzik sendiri.

“Situasi seperti itu akan membuatkan masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan dengan baik kerana mereka tidak faham. Malah ada masalah timbul menjadi bertambah buruk dan seterusnya menyebabkan ada penggiat langsung tidak percaya kepada industri kerana berasa kecewa dan putus asa,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan­nya meninggalkan kerjaya seni dan berhijrah, kata Ajai, perkara yang diperkatakan itu tidak akan berlaku tetapi dia memang mahu berhijrah dan melakukan sesuatu yang menjadi minatnya sejak dulu tetapi tidak diketahui umum.

“Saya tidak ke mana-mana, hanya berhijrah ke kampung halaman isteri di Pulau Pinang. Saya akan memulakan satu bidang kerjaya baru iaitu membuka restoran menyediakan juadah asam pedas di sana.

“Ramai orang tidak tahu saya boleh memasak dan minat yang ada sejak itu saya dalami kebelakangan ini. Malah masakan asam pedas yang menjadi juadah utama di restoran bakal beroperasi tidak lama lagi ini, adalah salah menu yang memang saya minati dan pakar,” katanya.

Kata Ajai, dia membuka perniagaan restoran asam pedas di bahagian pulau di Pulau Pinang kerana tidak banyak saingan dan itu memberikan kelebihan kepadanya.

Tambah pula kebanyakan orang di utara yang teringin menikmati hidangan itu tidak tahu di mana hendak mencarinya kerana tiada yang mengusahakannya.

Kalau ada pun jelas Ajai, ia dijual dengan lauk-pauk lain dan tidak khusus atau mempunyai konsep seperti apa yang dilakukan.

“Dengan adanya restoran diusahakan itu diharap mampu memberi pilihan kepada masyarat di sana. Walaupun saya bakal mengusahakan restoran ini nanti, saya tidak akan meninggalkan dunia seni.

“Saya masih lagi akan menerbitkan lagu dan album, tetapi tumpuan hanya terhadap beberapa artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman milik saya, Wake The Baby seperti Amelina yang mana single terbarunya, Cinta Itu Seksi baru saja dilancarkan,” katanya.

0 Response to "PUNCA AJAI KECEWA DENGAN INDUSTRI....FOKUS PADA KEDAI MAKAN!!"