Nikah Ekspres: Ramai guna alamat palsu, nikah warga asing

Dua daripada 68 pasangan yang dinikahkan oleh sindiket nikah ekspres di Kuala Kedah, Kedah, merupakan pasangan yang berstatus kewarganegaraan Indonesia.

Hasil siasatan terkini Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mendapati pernikahan dua pasangan terbabit turut melibatkan wanita dari negara berkenaan dan pasangannya iaitu lelaki tempatan.


Ketua Penolong Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JHEAIK), Syeikh Ahmad Fisol Omar memaklumkan, kedua-dua wanita terbabit berkahwin dengan dua lelaki tempatan yang berumur lingkungan 40an, kira-kira dua tahun lalu.

Katanya pasangan ini telah berpoligami bersama dua lelaki tempatan yang bukan berasal dari Kedah semata-mata mahu mengelakkan daripada diketahui isteri pertama.

Apa yang membimbangkan pihak JAIK kini adalah status kesahihan pernikahan tersebut samada sah atau pun tidak kerana ianya memberikan implikasi yang cukup besar dari segi hukum sekiranya tidak sah.

Justeru itu, JAIK kini masih giat mengesan kesemua pasangan yang dinikahkan oleh juru nikah di masjid tersebut bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan juga turut memberi petunjuk baharu bahawa kebanyakan pasangan yang terlibat dalam pernikahan ekspres itu sebenarnya bukan berasal dari penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Jelasnya, pasangan terbabit dikenalpasti menggunakan alamat palsu yang direka semata-mata demi mencari jalan mudah bagi dinikah oleh jurunikah tersebut.

Ia berdasarkan pencarian yang dibuat JAIK melalui alamat yang tertera pada sijil palsu tersebut.

“Pertama sekali kita menyiasat alamat di dalam surat nikah tersebut kerana alamat yang diberikan itu palsu. Kerana berdasarkan gambar, alamat yang diberikan ialah sebuah stor. Tak kan lah mereka tinggal di dalam rumah kedai,” ujarnya.

Sebelum ini aktiviti tersebut dikesan berlaku di Kuala Kedah, Kedah bertujuan mengaut keuntungan pihak tertentu serta jalan mudah untuk pasangan melangsungkan perkahwinan atau berpoligami tanpa mengikut prosidur yang ditetapkan oleh jabatan agama negeri.

Kegiatan itu terbongkar selepas beberapa orang ahli jawatankuasa bertindak masjid di Kuala Kedah tampil membuat laporan polis berhubung aktiviti berkenaan yang turut didalangi salah seorang imam masjid di Kuala Kedah.

Malah proses pernikahan turut di lakukan di rumah imam berkenaan bertujuan bagi merahsiakan kegiatan tersebut dan sijil nikah yang dikeluarkan dipercayai menggunakan tandatangan palsu.

Untuk menampakkan kesahihan pada sijil nikah, sindiket itu menggunakan surat kebenaran dari mahkamah syariah yang palsu kebenaran berpoligami bertujuan meyakinkan pasangan yang ingin bernikah

0 Response to "Nikah Ekspres: Ramai guna alamat palsu, nikah warga asing "