Syurga isteri terletak di telapak kaki suami. Akur dengan hukum, pelakon Lana Nordin bersedia meninggalkan dunia lakonan buat sementara waktu bagi membolehkan dia berada di sisi suami.
Lana atau Mazlina Hasan Nodin mahu menjadi tulang belakang dan penyokong kuat suaminya, Mohd Daud McKienzie Abdullah yang mengejar impian mewakili Amerika Syarikat dalam sukan bola tampar pantai di Sukan Olimpik Rio, Brazil pada 2016.
Kata Lana, disebabkan Daud terlalu sibuk dengan jadual kerja dan usahanya untuk mewakili AS, mereka terpaksa pulang ke sana bagi membolehkan suaminya mengikuti sesi latihan dan pemilihan yang ditetapkan.
Sebaik selesai majlis resepsi kelmarin, mereka harus pulang ke Singapura hari ini supaya Daud boleh meneruskan kem latihan bola tampar. Daud juga diundang mengendalikan kem sama di Manila, Filipina pada hari berikutnya.
“Jadualnya memang penuh hinggalah puasa sebelum kami berangkat pulang ke Los Angelas. Saya juga tidak dapat menyambut Aidilfitri di sini kerana harus menemani suami.
“Sebab itu saya minta Daud tangguhkan kepulangannya ke sana beberapa hari supaya dapat menyambut Ramadan di sini bersama keluarga,” katanya.
Lana harus meninggalkan kerjaya lakonan buat sementara waktu kerana terpaksa merantau ke beberapa lokasi latihan dan pemilihan yang ditetapkan.
Katanya, Daud benar-benar mahu memastikan dia bakal dipilih mewakili negaranya untuk Olimpik Rio 2016.
“Dia pula jenis suka berkepit dan tidak mahu berpisah, menyebabkan saya harus berkorban supaya Daud tidak perlu risau mengenai saya.
“Paling penting, saya dapat menjaga segala keperluan suami dan harap kehadiran saya dapat membantunya memberi tumpuan kepada sesi latihan dan pemilihan yang harus diikuti,” katanya.
Lana juga sedar tanggungjawab besar yang harus dipikulnya apabila berkahwin dengan saudara baru. Dia bersyukur kerana diberi suami yang sangat peka dan selalu bertanya untuk mengambil tahu akan pegangan dianuti.
“Saya juga tidak sempurna dan masih lagi perlu banyak belajar, tetapi saya bertuah kerana Daud mempunyai ilmu mengenai Islam. Dia banyak membaca dan bertanya.
“Sebaik memeluk Islam, dia menjelaskan kepada saya bahawa Islam itu mudah tapi yang membezakannya ialah budaya anutan dibawa masyarakat atau negara.
“Saya tahu dia banyak belajar dan tahu mengenai Islam sewaktu bekerja di Dubai selama tujuh tahun. Dalam diam, dia banyak belajar mengenai Islam.
“Di sekolah rendah lagi Daud belajar subjek perbandingan agama. Sebaik memeluk Islam akhir tahun lalu, ramai kawannya dalam kalangan pak Arab menghubunginya untuk mengucapkan tahniah. Saya tahu kalau tidak dari saya, dia boleh rujuk banyak sumber kerana dia ramai kawan,” katanya.
Kata Lana, keperibadian Daud yang sebelum ini sangat berdisiplin sebagai ahli sukan menyebabkan dia mudah melaksanakan kewajipan dan menjauhi perkara haram.
“Saya terkejut apabila mengetahui Daud tidak merokok, apatah lagi mengambil minuman keras. Dari sudut itu dia tidak ada masalah untuk meninggalkan atau menjauhi perkara haram,” katanya.
Bagi Daud atau David McKienzie, sikap Lana yang memudahkan apa saja urusan membabitkan mereka berdua membuatkan dia berasakan wanita itu pilihan tepat untuk dijadikan suri hidupnya.
“Lana tidak seperti apa yang orang luar kenal. Saya tahu semua perkara mengenai dia sebelum kami berkahwin tetapi saya lebih memandang hatinya yang sangat penyayang dan mengambil berat.
“Sewaktu membawanya bertemu keluarga saya, abang ipar saya menasihatkan saya supaya mengikat cinta kami dengan perkahwinan secepat mungkin sebelum dia diambil orang lain,” katanya.
Soal anak, kata Daud, mereka ada membincangkannya tetapi isterinya menasihati supaya mereka tidak terlalu memikirkan mengenainya.
“Kata Lana, jika rezeki itu sampai, pasti saya mahupun dia tahu apa harus dilakukan sebagai ibu dan bapa. Tidak perlu merancang kerana segala-galanya Allah yang menentukan. Namun kalau tanya saya berapa anak yang kami mahu, kalau boleh saya mahu lebih daripada dua,” katanya.
Pasangan ini bertemu dalam satu majlis sukan dianjurkan badan pengendali sukan di Singapura, Oktober lalu. Pertemuan itu membuahkan rasa cinta hinggalah perancangan untuk hidup bersama berjalan lancar seperti ia ditentukan Tuhan.
Begitu juga apabila Lana membawa Daud bertemu keluarganya dua bulan kemudian dan Daud membawanya bertemu keluarganya pada Krismas lalu dan melamar pada Januari.
Pasangan ini dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Al-Islah Serdang Raya, Seri Kembangan, Ustaz Mohd Ramizi Ramli berwakilkan bapa Lana, Hasan Nodin Mohd Zaidi, 64, pagi kelmarin.
Majlis serba ringkas di Hotel Palace Of The Golden Horses itu dihadiri 100 tetamu membabitkan ahli keluarga kedua-dua pihak dan teman media.
Daud menyerahkan mas kahwin AS$10,000 (RM35,700) berserta wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya dan cincin berharga hampir RM100,000. Suaminya yang berdarah kacukan Filipina-Inggeris itu turut menghadiah Lana kereta BMW.
Majlis resepsi pula berlangsung di hotel sama pada sebelah malamnya dihadiri keluarga, teman artis dan media.
Keluarga Daud juga merancang mengadakan satu majlis resepsi khas buat pasangan ini apabila mereka pulang ke Los Angeles.
Majlis resepsi Lana dan Daud yang diadakan di Hotel sama berlangsung meriah dengan bertemakan perkahwinan dalam taman ala Inggeris.
Keluarga Daud yang datang dari AS juga dapat merasai majlis perkahwinan masyarakat Melayu apabila turut melakukan tepung tawar kepada mempelai.
0 Response to "Selamat tinggal dunia lakonan!!!! - Lana Nordin"
Catat Ulasan