10 tahun dalam industri, Nora sekadar janda hot


SEcara nakalnya, Nora Danish mudah dianggap sebagai ubat pelaris berprofil tinggi dalam industri. Tahun ini sahaja sudah tiga filem lakonannya ditayangkan termasuk Gudang Kubur, Hantu Bungkus Ikat Tepi dan terbaharu, Suami Aku Ustaz. Itu tidak termasuk empat filem yang ditayangkan pada 2013 iaitu Lagenda Budak Hostel, Mencari Cinta, Dua Kalimah dan Bencinta. Cuma pada 2014, hanya dua filem lakonannya ditayangkan iaitu Anak Jantan dan Pengantin Malam.

Bertemu aktres berusia 32 tahun itu dalam satu sesi temu bual eksklusif di The Pasific Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nora menyelak helaian yang terperosok jauh di dasar hati. Dia terbuka bercerita soal sasaran karier, kontroversi dan kehidupan solo yang dijalani sejak sekian lama.


Menjadikan filem romantik komedi gandingan bersama aktor terkenal, Adi Putra yang sudah pun ditayangkan di pawagam pada 14 Mei lalu sebagai mukadimah, kata Nora, filem Suami Aku Ustaz merupakan sebuah naskhah yang sarat persoalan kemasyarakatan dan keagamaan.


;

Dalam filem itu juga, Nora selayaknya berasa bangga kerana kali pertama berlakon bawah arahan Adi Putra.

“Bagi saya, filem ini sangat ringkas tetapi intipatinya menyayat hati. Adi Putra selaku pengarah bijak memanipulasi perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian kita ke dalam sebuah filem,” ujar Nora mengenai filem yang turut diarahkan Ghaz Abu Bakar itu.

Katanya, filem tersebut banyak memberi cabaran baharu kepadanya. Biarpun banyak terlibat dengan penggambaran babak sukar, seperti mengendalikan bot seorang diri, pengalaman itu tersemat kemas dalam ingatannya.

“Alisa bersikap nakal, keras kepala dan kasar. Mungkin orang luar tidak tahu tetapi sebenarnya itulah peribadi sebenar saya. Walaupun tidak sekasar dan senakal Alisa tetapi tetap nakal.

“Kadang-kadang rasa lucu tetapi adegan sebegitu mampu memberi pengalaman berharga buat saya,” tuturnya ceria.

Mengajak Nora bercerita tentang tempoh 10 tahun bernafas sebagai anak seni dalam lapangan dunia hiburan tempatan, pemilik nama sebenar, Nora Danish Mohd. Hanif itu mempunyai deretan judul drama, telefilem dan filem yang pernah dilakonkan.

Anugerah


Di sebalik puluhan judul popular tersebut, entah di mana silap dan kekurangannya, semuanya masih belum cukup kuat untuk dijadikan tiket buat Nora menempah sebarang anugerah untuk dibanggakan.

Tidak mahu digelar individu yang mengejar gelaran atau populariti, Nora punya alasan tersendiri mengapa dia begitu mendambakan sebuah anugerah.

“Penerbit popular, David Teo pernah berkata kepada saya, anugerah tidak penting kepada mana-mana pelakon. Apa yang penting ialah mutu lakonan. Saya tidak nafikan perkara itu tetapi bagi saya, anugerah boleh memberi kepuasan kepada seseorang pelakon seperti saya.

“Setelah bertungkus lumus bekerja, mengapa tidak saya puaskan diri dengan sebarang pencapaian. Bukan untuk mengejar glamor tapi cukuplah sekadar pengiktirafan atas kesungguhan saya dalam bidang seni selama ini,” tuturnya bersungguh-sungguh.

Mengakui terkadang terkilan, namun Nora tidak menyalahkan takdir. Katanya, itu semua merupakan kerja Tuhan. Catatan rezeki seseorang berbeza-beza.


“Selama 10 tahun, anugerah yang pernah saya dapat hanyalah gelaran janda hot dan hot chick,” selorohnya, namun menyimpan maksud mendalam.

Namun Nora optimis, seandainya dia diberi peluang dan melestarikan lakonan dengan lebih baik pada masa akan datang, tidak mustahil dia juga bakal mencapai impian yang telah lama terbuku dalam jiwa.

Belum jutawan

Sebut sahaja nama Nora Danish, umum tahu aktres tersebut antara artis wanita yang sering diekori kisah kontroversi, sementelah memegang status janda beranak satu.

Tidak pernah sepi tanpa dihimpit sensasi yang bertubi-tubi, Nora turut didakwa bergelar antara pelakon wanita terkaya di Malaysia.


Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dilaporkan di media sosial baru-baru ini, kata Nora, laporan dibuat secara melulu mungkin dengan niat sengaja mereka-reka cerita. Baginya, dia masih belum layak digelar jutawan.

“Rasanya kalau saya sudah cukup kaya dan bergelar jutawan pada hari ini, saya tidak akan bersusah payah bekerja siang dan malam mengerah tenaga demi mencari sesuap nasi,” laju Nora meluncur patah kata saat diminta mengulas isu tersebut.

Tambahnya lagi: “Saya tidak nafikan beberapa tahun kebelakangan ini, rezeki saya dalam bidang lakonan memang melimpah-ruah. Bagi saya, selagi rezeki Allah masih ada untuk saya, mengapa saya tidak bertungkus lumus mendapatkannya? Bak kata orang, rezeki jangan ditolak.

“Mungkin sebab itulah, gosip sebegitu boleh timbul. Khalayak melihat saya sentiasa sibuk dengan kerja, jadi mereka fikir hidup saya sudah senang-lenang.

“Saya ada keluarga, ada ibu untuk dijaga. Saya punya alasan tersendiri mengapa bertungkus lumus bekerja. Kalau saya sudah jutawan, untuk apa saya sibuk bekerja,” tuturnya.

Nedim

Membawa perbualan memasuki soal kekasih hatinya Nedim Nazri, Nora hanya ketawa kecil. Secara spontan, dia mahu memperbetulkan kenyataan mengenai Nedim yang dibuatnya baru-baru.


“Saya pernah kata Nedim kini bodyguard saya, namun semua itu gurauan semata-mata.

“Saya sengaja cakap begitu kerana semua orang tahu dia (Nedim) selalu menemankan saya ke mana sahaja. Padahal itu cuma gurauan saja,” jelasnya sambil ketawa kecil.

Pada kesempatan yang sama, isu gambarnya yang muncul dalam sebuah video pengganas beberapa bulan lepas turut diungkit. Nora mengakui, perasaan bimbang masih bersisa dalam diri setiap kali keluar dari rumah.


“Sejak gambar saya disalahgunakan tempoh hari, ibu saya selalu menyuarakan kebimbangannya. Sekarang, kalau ke mana-mana, pasti Nedim akan menemani. Kalau dia tiada, kadang-kadang pengawal peribadinya yang ambil alih.

“Saya mana mampu nak bayar khidmat bodyguard,” selorohnya ceria menutup perbualan pada petang itu.


0 Response to " 10 tahun dalam industri, Nora sekadar janda hot"