PECAT DOLLAH!!! Jikalau kepala tak betul, ekor pun tak betul.


Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuntut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) segera menamatkan perkhidmatan jurulatih kebangsaan Dolah Salleh dan mendapatkan khidmat jurulatih luar berkualiti.

Tunku Ismail yang juga merupakan Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) turut menyatakan kesediaan untuk memberikan bajet  bagi membiayai jurulatih asing berkualiti.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Johor Southern Tigers, hari ini, Tunku Ismail berharap apa yang diluahkannya kepada FAM itu akan disampaikan kepada Presiden badan induk berkenaan, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Cukup-cukuplah kita berperangai bodoh sombong. Pecat Dollah secepat mungkin dan cuba memperbaiki apa yang kita mampu sebelum imej bola sepak tanah air semakin hancur. Cuma saya menggesa syaratnya adalah untuk memberikan semua pasukan yang bertanding dalam negara hak penyiaran yang sepatutnya mereka terima iaitu sebanyak 70 peratus hingga 80 peratus," kata Tunku Ismail.

Jelas Tunku Ismail, khidmat jurulatih luar yang baik juga amat penting dan memberikan contoh perbezaan pemain-pemain JDT ketika beraksi bersama kelab dan kebangsaan.

"Pablo Aimar pernah mengajar saya, tiada maknanya memiliki sebuah kereta Ferrari sekiranya pemandunya hanya tahu memandu sebuah van. Jadi untuk memiliki sebuah pasukan yang baik, 50 peratus adalah kejurulatihan dan 50 peratus adalah pemain," katanya.

Pemain UAE Ahmad Khalil (tengah) bertarung mendapatkan bola daripada pemain
Malaysia Mohd Afif bin Amiruddin (kanan) dan Khairul Fahmi (kiri)
ketika pusingan kelayakan bagi FIFA World Cup 2018 di Abu Dhabi. -
Foto AFP/Karim Sahib
Tunku Ismail turut meminta mana-mana ahli jawatankuasa FAM yang tidak berfungsi untuk bercuti panjang.

"Jikalau kepala tak betul, ekor pun tak betul. Oh satu lagi, saya akan teruskan misi saya untuk membunuh bola sepak tanah air, Bagi mereka yang mengatakan saya telah pun mencapai misi saya apabila kita tewas 10-0, ianya masih jauh lagi kerana saya hanya akan berhenti apabila kita kehilangan 50-0," kata Tunku Ismail.

Ini merupakan kenyataan kedua berturut-turut dikeluarkan oleh Tunku Ismail menerusi Facebook JDT, selang beberapa jam susulan kekalahan mengaibkan 10-0 Malaysia di tangan UAE.

Dalam kenyataan awalnya, Tunku Ismail berkata, skuad Harimau Malaya sudah terlambat untuk memperbaiki kedudukannya di ranking dunia selepas kekalahan itu.

sumber astro awani

0 Response to "PECAT DOLLAH!!! Jikalau kepala tak betul, ekor pun tak betul. "