Luahan Hati Ibu Kepada Pelajar KUIS

Assalamualaikum.

Saya dari Pulau Pinang merupakan seorang ibu/penjaga kepada salah seorang pelajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang merupakan kolej universiti di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dan kini beliau sedang berada di tahun 2 dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang di kolej universiti tersebut.

Saya pada awalnya berasa amat senang hati apabila menghantar anak saya melanjutkan pelajarannya di kolej universiti tersebut kerana saya banyak mendapat maklumat mengenai suasana pembelajaran di sana yang amat selesa & persekitaran budaya Islam yang amat baik di sana, tambahan pula anak saya juga mengambil jurusan pengajian Islam. Namun segalanya bertukar menjadi mimpi ngeri kepada anak saya & keluarga saya sendiri apabila anak saya telah banyak mengadu kepada saya mengenai beberapa masalah besar yang telah dihadapinya dan rakan-rakannya.

Saya telah menyenaraikan beberapa masalah utama yang sering dihadapi oleh anak saya dan rakan-rakannya. Antaranya ialah :

MASALAH YURAN

i.    Yuran terlalu mahal. Pada semester lepas, yuran meningkat sekali ganda dan ini mengundang kemarahan pelajar. Sedangkan jika dilihat, tiada sebarang perubahan pun yang dibuat untuk kemudahan pelajar. Yang dilakukan hanyalah untuk perkara yang tiada kaitan langsung dengan pelajar seperti mencantikkan tasik KUIS, mencantikkan landskap taman dan sebagainya.  Perkara yang seharusnya diambil berat dan harus dilakukan perubahan tidak pula pihak KUIS lakukan, sebagai contoh membantu pembayaran buku, menambah baik sumber dan kuantiti buku di perpustakaan, menambah baik sistem interner tanpa wayar (wireless)  dan sebagainya.

ii.    Pihak KUIS kebiasaannya tidak memberi duit PTPTN yang seharusnya pelajar dapat dengan sepatutnya. Sebagai contoh : pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah & Undang-Undang akan mendapat RM8000 sebagai bantuan daripada pihak PTPTN. Yuran keseluruhan yang harus dibayar ialah RM6850.20. jika dihitung, seharusnya pelajar akan dapat (RM8000-RM6850.20=RM1149.80), tetapi, kami tidak akan dapat jumlah yang begitu sebaliknya pelajar akan dapat lebih kurang dalam RM1000/RM1050 sahaja.  Ini telah mengundang rasa tidak puas hati dan pelajar tertanya-tanya, ke manakah baki yuran yang sepatutnya diterima oleh para pelajar dan ke manakah duit pelajar tersebut  telah disalurkan ?

iii.    Yuran naik terlalu mendadak sehingga memaksa para pelajar ‘mengikat perut’ dengan baki yuran yang tidak seberapa.

iv.    Ada juga beberapa kes yang berlaku apabila  ade beberapa mata pelajaran yang tiada kena mengena  dengan jurusan yang diambil namun ia telah disenaraikan di dalam yuran dan akibatnya, para pelajar terpaksa membuat beberapa proses membuang mata pelajaran tersebut dan yuran untuk mata pelajaran tersebut tetap perlu dijelaskan/dibayar.

ASRAMA

i.    Pemilihan bilik semasa daftar pengajian ; pelajar tidak bebas membuat sebarang pilihan bilik dan ini menimbulkan rasa kurang puas hati terhadap pihak pengurusan KUIS. Pemilihan bilik juga memainkan peranan terhadap keselesaan pelajar.

ii.    Struktur bangunan asrama yang dilihat terdapat banyak keretakan dibeberapa bahagian dan ia hanya ditampal dengan polistrin. Ini mengundang bahaya terhadap keselamatan pelajar. Seharusnya pihak KUIS menggunakan waktu cuti panjang pelajar sebagai masa untuk membaiki kerosakan-kerosakan tersebut namun ia tidak dilakukan.

iii.    Peralatan yang disediakan tidak berkualiti ;

i.    Katil cepat patah

ii.    Tilam yang nipis

iii.    Tidak semua tandas yang boleh digunakan

iv.    ‘Shower’ dan paip cepat patah dan kebanyakannya tidak boleh digunakan

v.    Penyidai kain tidak mencukupi

iv.    Pekerja asrama/pihak KUIS mengambil mudah dan tidak mengendahkan aduan dari pelajar hingga terpaksa membuat aduan berkali-kali, baru tindakan diambil.

v.    Barangan elektrik juga perlu dibuat bayaran secara berasingan daripada yuran dan ini menimbulkan rasa beban kewangan terhadap pelajar dan pelajar merasa tidak patut bertindak sedemikian kerana yuran yang dibayar oleh pelajar sudah cukup mahal.

vi.    Hak privacy pelajar di asrama tidak sepatutnya dicerobohi oleh warden ataupun mana-mana pekerja/kakitangan KUIS. Ini melanggar hak asasi manusia dan pelajar boleh membawa hal ini kepada bahagian yang lebih tinggi dan pihak KUIS boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi KUIS adalah sebuah institusi swasta  yang dibayar oleh pelajar itu sendiri

KAKITANGAN
   
Layanan terhadap pelajar sangat teruk.

Tidak mesra pelanggan

Menggunakan bahasa yang tidak elok dan kurang sopan terhadap pelanggan (pengalaman anak saya yang hendak membuat kad matrik baru, ketika sedang menunggu, telah datang seorang pensyarah baru yang hendak membuat kad pensyarah, kakitangan di situ telah memarahinya kerana menyangka dia pelajar sehingga disedarkan oleh seorang lagi kakitangan).
   
Pemakaian kakitangan yang tidak menunjukkan sebarang contoh terhadap pelajar seperti yang ditekankan oleh Rektor KUIS melalui konsep “ta’dib” tetapi kakitangan sendiri tidak menunjukkan contoh pemakaian yang baik.
   
Pengawal keselamatan yang berat sebelah. Pelajar lelaki dibiarkan tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil apabila balik lewat malam atau membuat perkara yang melanggar undang-undang. Akan tetapi, tindakan yang berbeza telah dilakukan terhadap pelajar perempuan.

PENGANGKUTAN

Jika dilihat, pengangkutan bas/ van KUIS kini tidak lagi digunakan pada setiap hari dan hanya digunakan pada hari-hari tertentu seperti Jumaat, sabtu, ahad dan isnin sahaja. Hal ini telah membuatkan pelajar merasa tidak berpuas hati kerana banyak urusan yang melibatkan pelajar untuk keluar, tergendala terutama apabila berurusan dengan mana-mana sektor yang beroperasi pada waktu pejabat.

Pemandu bas juga tidak melakukan tugasan seperti yang telah ditetapkan. Pemandu tida kmengikut jadual perjalanan bas yang seharusnya mereka ikuti. Jika pelajar bertanya atau menegur, pelajar tersebut akan dimarahi kembali (pengalaman anak saya)

Saya juga melahirkan rasa kesal kepada pihak pentadbiran KUIS dan juga kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) KUIS yang gagal menyelesaikan permasalahan yang telah dihadapi oleh anak saya ini walaupun aduan telah dibuat beberapa kali. Permasalahan terus berulang, dan para pelajar di kolej universiti tersebut terus dihimpit dengan kesempitan wang akibat yuran yang terlalu tinggi. Harapan saya supaya pihak-pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan masalah yang telah dihadapi oleh anak saya ini dan rakan-rakannya.

0 Response to "Luahan Hati Ibu Kepada Pelajar KUIS"