Mendirikan Masjid itu Indah


Untuk menegakkan bangunan masyarakat Islam, penyangga utamanya adalah rumah tangga. Apa yang dimaksudkan dengan rumah tangga Islam? Apakah dengan semua anggota keluarganya beragama Islam sudah boleh disebut rumah tangga Islam? Kenyataannya, betapa banyak keluarga muslim yang tidak menampakkan kehidupan yang Islamik.


Isteri adalah umpama ladang, iaitu ladang dunia dan ladang akhirat. Peladang bertanggungjawab mengusahakan ladangnya, menggembur tanahnya, menanam benih, membaja, menyiram dan menjaga daripada makhluk perosak. Suami bertanggungjawab memelihara, melindungi, mendidik dan membentuk isterinya agar dia mengeluarkan hasil yang baik bagi kehidupan dunia dan membantu agar sama-sama mendapat keselamatan dan kesejahteraan di akhirat.

Sebagaimana peladang memperolehi hasil daripada usahanya di ladang, begitu juga suami  akan menghadapi natijah daripada hubungannya dengan isterinya. Orang yang bijak menjadikan kehidupan rumah tangganya sebagai persediaan untuk mendapat kebaikan dunia dan akhirat dengan menjadikan takwa sebagai landasan kehidupannya. Kelak manusia akan menemui Allah dan orang yang beriman akan bergembira menemui-Nya.

Rumah tangga Islam adalah sebuah rumah tangga yang didirikan di atas landasan ibadah yang di dalamnya ditegakkan adab-adab Islam, baik individu mahupun keseluruhan anggota keluarga. Mereka bertemu dan berkumpul kerana Allah, saling menasihati dengan kebenaran dan kesabaran, saling menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar kerana kecintaan mereka kepada Allah SWT. Mereka tinggal di dalamnya kerana kesejukan iman dan kekayaan rohani. Mereka berkhidmat kepada Allah SWT dalam suka dan duka, dalam keadaan lapang mahupun sempit.
Rumah tangga Islam adalah rumah yang di dalamnya terdapat iklim yang sakinah (tenang), mawadah (penuh cinta) dan rahmah (sarat kasih sayang). Perasaan itu sentiasa melingkupi suasana rumahnya setiap hari. Seluruh anggota keluarga merasakan suasana “syurga” di dalamnya. Baiti Jannati, demikian slogan mereka sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Subhanallah!
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” ( Ar-Ruum: 21)
Prinsip-prinsip dasar rumah tangga Islam adalah seperti berikut:-
Tegak di atas landasan ibadah
Rumah tangga Islam harus didirikan dalam rangka beribadah kepada Allah semata. Ertinya, sejak proses memilih jodoh, landasannya haruslah benar. Memilih pasangan hidup haruslah kerana kebaikan agamanya, bukan sekadar kecantikan, ketampanan wajah, kekayaan atau ciri fizikal lainnya.
Proses bertemu dan menjalin hubungan hingga kesepakatan untuk melangsungkan pernikahan harus tidak lepas dari prinsip ibadah. Proses pernikahannya sejak akad nikah hingga walimah, tetap dalam rangka ibadah dan jauh dari kemaksiatan. Hingga akhirnya mereka menempuh bahtera kehidupan dalam suasana ta’abudiyah(peribadahan) yang jauh dari dorongan hawa nafsu.



Didalam sebuah keluarga, lelaki digelar sebagai suami, ayah, ketua,pemimpin dan pembimbing.
Melalui gelaran sahaja telah membuktikan bahawa lelaki perlulah mempunyai tanggungjawab
dan disiplin yang tinggi dalam kehidupan seharian. 
Nilai-nilai Islam secara kaffah
Penerapan nilai Islam secara kaffah (menyeluruh) harus terjadi dalam diri setiap anggota keluarga, sehingga mereka sentiasa peka terhadap adab-adab Islam. Untuk itu, rumah tangga Islam dituntut untuk menyediakan saranan tarbiyah yang memadai, agar proses belajar, menerap nilai dan ilmu dalam kehidupan dapat dipraktikkan   dalam kehidupan.
Hadir qudwah yang nyata
Diperlukan qudwah (keteladanan) yang nyata dari sekumpulan adab Islam yang hendak diterapkan. Orang tua memiliki peranan yang amat  penting dalam hal ini. Sebelum memerintahkan kebaikan atau melarang kemungkaran kepada anggota keluarga yang lain, pertama kali orang tua harus memberikan keteladanan.
Anggota Keluarga Mengikut Syariat
Dalam rumah tangga Islam, masing-masing anggota keluarga telah mendapatkan hak dan kewajibannya secara tepat dan manusiawi. Suami adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kelangsungan hidup rumah tangga. Isteri adalah pemimpin rumah tangga untuk tugas-tugas dalam rumah.

Ta’awun dalam menegakkan adab-adab Islam
Berkhidmat dalam kebaikan bukanlah mudah, banyak gangguan dan dugaannya. Jika semua anggota keluarga dapat meletakkan diri secara tepat, maka ta’awun (tolong-menolong) dalam kebaikan ini menjadi lebih mudah.
Rumah Kukuh bagi Terlaksananya Peraturan Islam
Rumah tangga Islam adalah rumah yang secara fizikalnya kondusif bagi terlaksananya peraturan Islam. Adab-adab Islam dalam kehidupan rumah tangga akan sulit diterjemahkan jika struktur bangunan rumah yang dimiliki tidak kukuh.
 Cukup material
Demi mewujudkan kebaikan dalam rumah tangga Islam, tidak terlepas dari faktor kewangan. Memang material bukan segala-galanya. Bukan pula merupakan tujuan dalam kehidupan rumah tangga tersebut. Namun, tanpa kewangan yang kukuh, banyak kewajipan tidak dapat dilaksanakan.
Hindarkan dari hal tidak sesuai dengan semangat Islam
Berusaha untuk menjauhkan dari hal dalam rumah tangga yang tidak sesuai dengan semangat keIslaman. Perhiasan melampau dan peralatan yang tidak bermanfaat tidak harus berada dalam rumah tangga Islam.
Anggota keluarga terlibat dalam pembinaan masyarakat
Rumah tangga Islam harus memberikan kekuatan yang cukup bagi kebaikan masyarakat sekitarnya, sebagai satu usaha pembinaan masyarakat menuju pemahaman yang benar tentang nilai-nilai Islam kemudian berusaha bersama-sama membina diri dan keluarga sesuai dengan arahan Islam. Betapapun taatnya keluarga kita terhadap pencipta, tetapi apabila suasana persekitaran tidak membantu, ia akan membantutkan usaha melahirkan rumah tangga Islam terutama pembentukan akhlak anak-anak.
Hindari dari  pengaruh lingkungan yang buruk
Jika kita berada dalam keadaan berdepan dengan masyarakat sekeliling yang telah rosak, maka perkara utama yang perlu dilakukan ialah membentengi anggota keluarga. Selamatkan dari dalam agar tidak hanyut dalam suasana jahil masyarakat di sekelilingnya. Jika keadaan memaksa, keluarga muslim wajib meninggalkan tempat tersebut dan mencari tempat lain yang lebih baik. Hal ini dilakukan demi kebaikan mereka.
Demikian beberapa karektor sebuah rumah tangga yang Islamik. Dengan adanya bangunan rumah tangga Islam, rumah tangga teladan yang menjadi impian umat inilah maka masyarakat Islam dapat diwujudkan.

0 Response to "Mendirikan Masjid itu Indah"