Diam bukan kerana salah

SI JELITA berkulit putih gebu ini lekas benar dikenali di kalangan peminat seni hiburan tempatan. Lakonannya dalam rantaian Nur Kasih yang mengundang perhatian ramai benar-benar mengangkat namanya sebagai pelakon popular.

Namun, dalam kerancakan pemilik nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak atau cukup popular dengan panggilan Tiz Zaqyah ini membina empayar lakonannya timbul pula kisah-kisah negatif yang seakan cuba merungkai isi sebenar kehidupan gadis berbintang Scorpio ini.

Daripada kisah dikatakan gemar ke kelab, ia diperkuatkan lagi dengan penyebaran gambar-gambarnya di Internet. Malah, baru-baru ini timbul pula cerita kononnya Tiz cuba merampas kekasih orang.

Apa yang menimbulkan spekulasi kurang elok terhadap Tiz ialah dirinya dibayangkan oleh khalayak sebagai gadis yang dimaksudkan oleh Fasha Sandha di laman sosial, Twitter milik pelakon itu dengan mendakwa Tiz cuba mengganggu kekasihnya.

Dek kerana tidak berpuas hati kekasihnya dihubungi pada pukul 4 pagi, Fasha dikatakan telah memberi amaran di laman Twitternya, “Don’t Mess With Me Ya” agar haknya itu tidak sekali-kali diganggu.

Turut didedahkan oleh Fasha pada laman tersebut individu yang dimaksudkan itu tidak lama dahulu pernah juga menelefon pelakon Fizz Fairuz, kekasih kepada pelakon muda Almy Nadia pada pukul 3 pagi dan hal itu diketahui oleh krew produksi.

Benarkah individu yang dimaksudkan oleh Fasha itu adalah Tiz Zaqyah dan sejauh manakah kebenaran gosip yang dituding khalayak kepada pelakon muda ini?

Bertemu Tiz, pelakon yang semakin meningkat naik itu pada majlis doa selamat filem Nur Kasih yang berlangsung di Mutiara Damansara baru-baru ini, dia yang pada awalnya kelihatan gementar membuka bicara setenangnya memberi penjelasan usai segala persoalan yang diajukan oleh wakil media kepadanya.

“Saya tidak tahu-menahu tentang hal itu, sehinggalah dua minggu lalu rakan-rakan menelefon dan bertanyakan hal yang sebenar kepada saya.

“Semua ini memang tiada kena-mengena dengan saya. Kita tidak tahu siapa individu yang dimaksudkan oleh Fasha dalam Twitternya.
“Cuma orang menganggap saya terlibat kerana manipulasi-manipulasi yang seakan-akan menggambarkan diri saya itu yang saya rasa orang jadi salah sangka,” kata Tiz membuka bicara perihal isu yang mengaitkan namanya.

Apa yang menjadi tanda tanya khalayak adakah orang yang di maksudkan oleh Fasha sebagai ‘My Love’ itu menerusi komen-komennya di laman Twitter merupakan Rizal Ashram Ramli yang dikenali sebagai Jejai?
Jika benar, sejauh manakah Tiz mengenali Jejai yang dikatakan cukup intim dengan rakan baiknya itu dan seringkah dia dan Jejai bersua muka sebelum ini?

Jelas Tiz, dia langsung tidak memiliki nombor telefon Jejai apatah lagi menghubunginya di awal pagi.
“Saya kenal dia baru tahun ini itupun beramai-ramai dan setiap kali berjumpa pasti Fasha akan ada sekali,” jelas Tiz membuat pengakuan.

Enggan namanya dikaitkan dengan gosip yang langsung tiada kena-mengena dengan dirinya, apa yang diinginkan ialah segala kisah negatif yang memalit nama baiknya sebagai pendatang baru dunia hiburan segera dihentikan.
Ini kerana fokusnya hanya satu, iaitu membina jenama diri sebagai pelakon berbakat serta mengembangkan lagi profil lakonannya.

Ditebak persoalan tidakkah dia ingin tampil membuat kenyataan serta membersihkan namanya, kata Tiz: “Saya rasa tidak perlu membersihkan nama sebab orang yang Fasha maksudkan bukan saya.
“Saya tutup mulut bukan kerana bersalah tetapi hanya ikut keadaan kecualilah jika situasi itu tidak mampu dikawal lagi baru saya bertindak.

“Saya sebenarnya sudah lama juga tidak hubungi Fasha sebab masing-masing sibuk, tetapi jika ada kesempatan saya akan hubungi dia nanti sebab kami memang berkawan,” kata Tiz lagi.

0 Response to "Diam bukan kerana salah"