Zila yang dibesarkan di bandar raya Kuala Lumpur sebenarnya cukup selesa dengan keadaan sedemikian.
“Pada saya seni seksi itu suatu yang cukup subjektif. Sebagai artis saya rasa apa yang saya tampilkan hanya sekadar untuk kepuasan diri. Pada masa yang sama, saya juga masih sedar batas susila sebagai bangsa Melayu,” ujar Zila ketika ditanya apakah makna seksi dari kaca matanya.


zila_bakarin1.jpg


Zila atau nama sebenarnya Rosmawati Bakarin sebenarnya dilahirkan di negeri jelapang padi, Kedah, 24 tahun lalu dan sehingga kini sudah membintangi lebih 30 buah drama televisyen.


Pelakon ini juga sebenarnya seorang yang cukup mudah didekati. Zila juga seorang yang kelakar. Seperkara lagi mengenai anak ketiga daripada tujuh adik- beradik ini ialah dia seorang yang suka ketawa.


Lantaran itu tidak hairanlah mengapa sepanjang temu bual dengannya, dia lebih banyak ketawa daripada berbicara.


Namun begitu, di sebalik bicaranya yang diatur penuh tersusun itu, menyimpan pelbagai makna yang seolah-olah menggambarkan peribadi Zila.


Di sebalik karakter happy go lucky yang ada dalam dirinya itu, Zila bagaimanapun mengakui kepada Pancaindera yang dia seorang yang cukup sensitif.


Ekoran sikapnya yang mudah percaya kepada orang lain, Zila mengakui sudah beberapa kali dia menjadi mangsa pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan di atas kebaikan dan keramahannya.




“Saya sudah mengalaminya beberapa kali dan keadaan sebegitu menyebabkan saya menjadi manusia yang paling sedih dan sensitif kerana saya tidak menyangka masih ada pihak yang cuba menyalahanggap kebaikan dan keramahan saya,” katanya dalam nada kesal.


Kata Zila, dalam menjalin persahabatan dengan sesiapa sahaja dia sentiasa mengharapkan, jalinan itu akan memberi kebaikan untuk jangka panjang.

“Saya mahu berbuat baik dengan sesiapa sahaja dan juga mahu menjalin persahabatan untuk tempoh masa yang panjang… bukannya untuk sehari dua.


“Malangnya jalinan persahabatan itu disalah anggap dan terhenti di pertengahan jalan hanya kerana mereka suka mengambil kesempatan terhadap diri saya,” jelas Zila sambil memberitahu dia kini cukup berhati-hati dalam memilih sahabat.




Bercerita mengenai profesionnya sebagai pelakon, Zila memberitahu, sebagai artis baru dia tidak menafikan seseorang artis itu memerlukan publisiti yang meluas untuk membantu menaikkan nama mereka di persada seni tanah air.


Justeru itu Zila memberitahu, langkahnya yang berani menggayakan aksi seksi juga antara faktor yang menjadikan dia dikenali para pengarah dan penerbit drama.




“Sebagai pelakon drama, siapa yang akan mengenal saya, kerana saya bukan bintang atau pelakon utama, tanpa publisiti tentu ramai pengarah yang tidak tahu dan mengenal saya. Jadi dengan publisiti di akhbar dan peluang untuk berlakon tentu lebih mudah.


“Pada masa yang sama saya juga selalu mengingatkan diri ini agar jangan mudah terpengaruh dan terpedaya dengan peluang yang datang kerana ada kalanya peluang itu akan memakan diri.




“Bagaimanapun saya bersyukur kerana keluarga sentiasa memberi nasihat dan bimbingan kepada saya supaya saya tidak pergi lebih jauh. Inilah kelebihannya apabila kita rapat dengan keluarga, dan lebih penting saya juga perlu jaga nama baik keluarga,” ceritanya lagi sebelum mengakhiri perbualan petang itu.