Simpan Klip Video Lucah Kanak-kanak, Pelajar Malaysia ditahan di US


Polis Malaysia sedang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi membanteras gejala pornografi melibatkan kanak-kanak, antaranya dengan memantau alamat IP yang melawat laman seumpama itu di Internet.

Polis Diraja Malaysia menerima lebih 5 kali permohonan daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat sejak 2 tahun lalu bagi membantu siasatan membabitkan pornografi kanak-kanak di dalam negara, kata Bukit Aman.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) (Siber dan Penyiasatan Multimedia), SAC Mohd Kamaruddin Md Din berkata FBI membuat permohonan itu sejak 2013 bagi membolehkan biro berkenaan mengesan protokol internet (IP) yang melayari laman web lucah kanak-kanak.

“FBI mengesan beberapa alamat IP dari Malaysia dan memohon kita dapat membantu mengesan dan mengenal pasti pelakunya,” kata Kamaruddin.

Bagaimanapun, katanya, PDRM sukar mengesan kes seperti yang membabitkan gambar pelawak Harith Iskander dan anaknya dimuat naik ke sebuah laman pornografi kanak-kanak.

Ini kerana, pelakunya menggunakan server proksi untuk mengakses laman web haram.

Server proksi adalah komputer yang memberikan perkhidmatan sambungan untuk membenarkan klien melakukan hubungan tidak langsung ke perkhidmatan sambungan lain.

“Kita tidak mampu mengesan mereka. Tetapi apabila kita menerima permohonan daripada FBI, kita akan jalankan tugas membantu sebaik mungkin,” katanya.

Setakat ini, FBI adalah satu-satunya agensi penguatkuasaan yang membuat permohonan sedemikian kepada PDRM.

“Pornografi kanak-kanak atau yang berkaitan adalah isu serius kepada mereka. Mereka boleh memerhatikan segala-galanya. Mereka mempunyai trafik pengunjung. Segala-galanya.

“Jadi, apabila kita menerima maklumat mereka mahukan bantuan kita, kita lakukan sedaya mungkin. Setakat ini kita belum mendakwa sesiapa, tetapi jika kita mempunyai maklumat, kita akan salurkan kepada FBI,” katanya.

Kenyataannya itu dikeluarkan sebulan selepas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Dan Penderaan (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ACP Ong Chin Lan dilaporkan berkata, polis sedang dalam persediaan membentuk unit jenayah siber kanak-kanak bagi mengenal pasti pelaku pedofilia dan salah laku seks yang menyasarkan kanak-kanak di alam maya.

Unit berkenaan akan diletakkan di bawah D11, jabatan di bawah Ong.

Memetik kenyataannya di The Star Online, PDRM memerlukan maklumat orang awam kerana salah laku pedofilia dan pornografi kanak-kanak beroperasi secara “underground”.

Ong berkata, PDRM juga setuju dengan penubuhan Akta Pendaftaran Pesalah Laku Seksual supaya dapat memantau pergerakan pesalah laku seksual, terutama pesalah pedofilia yang sudah menjalani hukuman penjara.

Ia berikutan penahanan pelajar Malaysia di United Kingdom kerana memiliki dan menyimpan ribuan klip lucah kanak-kanak.

Nur Fitri Azmeer Nordin, pemegang biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara), kini menjalani hukuman 5 tahun penjara di London atas kesalahan tersebut, sebelum dijangka pulang ke Malaysia.

0 Response to "Simpan Klip Video Lucah Kanak-kanak, Pelajar Malaysia ditahan di US"