ISTERI MENGANDUNG 7 BULAN DICERAIKAN SUAMI DITANGKAP KHALWAT


Saya dihubungi oleh seorang wanita berusia 27 tahun dan kemudian dia menghantarkan dua keping gambarnya kepada saya.

"Saya lihat gambar GRO tempatan tidak pernah didedahkan wajah mereka. Jadi dua hari lalu, saya meminta rakan merakamkan gambar saya dari belakang untuk abang gunakan dalam blog. Saya teringin hendak berkongsi kisah getir hidup saya bersama pembaca," ujarnya.

"Ya. Saya berjanji mengotakan kata. Dalam sebilangan kes, memang gambar tidak perlu dipaparkan. Awak harus faham, bukan tujuan saya untuk memalukan sesiapa. Cukup sekadar jika awak sudi berkongsi kisah untuk dijadikan renungan dan pedoman kepada pembaca blog," jelas saya.

Dia kemudian memperkenalkan dirinya sebagai 'Diana'.

"Untuk pengetahuan abang, sebelum berkahwin, saya pernah bekerja sebagai GRO selama 2 setengah tahun. Tunang, ketika itu menghantar dan menjemput saya ke tempat kerja  (pusat karaoke). Kami hendak mengumpulkan wang untuk melangsungkan perkahwinan. Setelah cukup, kami kemudian berkahwin pada tahun 2008 dan sekaligus saya berhenti bekerja sebagai GRO. Ketika itu saya berusia 21 tahun manakala suami, 29 tahun," jelas Diana.

"Kemudian apakah berlaku?," soal saya.

"Selepas melahirkan anak sulung, sewaktu dalam pantang, saya mula mengesyaki dia berlaku curang. Abang bayangkan, dia membawa handphone setiap kali masuk ke bilik air. Pelik ke tidak tindakan itu? Bekas suami saya bertugas di Pejabat Tanah dan seringkali mendakwa kononnya terpaksa menghadiri kursus di luar kawasan. Dia memang pandai menipu saya. Kalau dia kata pergi kursus di Kelantan, bila balik, bertujuan untuk mengaburi mata saya, dia membelikan dua helai kain batik sebagai buah tangan," katanya. 

"Betul ke dia berkursus?," tanya saya.

"Tidak bilanya dia ke Kelantan. Saya percaya kain batik itu dibeli di bandar berhampiran rumah kami," jelasnya.

Dia kemudian mendiamkan diri seketika.

"Selepas itu?," soal saya.

"Sebenarnya sejak saya dalam pantang anak pertama, dia mula balik lewat ke rumah, kekadang jam empat, lima pagi.  Ada waktu, langsung tidak nampak muka sampai seminggu. Alasannya, sibuk bekerja. Masa itu, saya pula suri rumah sepenuh masa, tidak bekerja, tiada duit. Pernah sekali itu, saya menelefon dia, bang baliklah, susu anak hanya tinggal dua sudu sahaja, kasihan anak bang, nanti dia lapar, kata saya. Namun dia tetap tidak balik ke rumah. Dia kejam bang. Contohnya, setiap kali keluar dari rumah, dia cuma meninggalkan wang tunai RM100 sahaja. Pandai pandai sayalah untuk berjimat cermat. Bila ditanya, abang ada affair dengan perempuan lain ke? Mati mati dia tidak mengaku. Katanya, awak jangan terlalu suka mendengar cakap cakap orang, nanti kita mati. Untuk pengetahuan abang, jiran kami juga kakitangan Pejabat Tanah, bahagian pentadbiran. Saya beberapa kali merisik maklumat daripada dia mengenai tugasan suami dan pernah ke pejabat dia untuk mengetahui fakta sebenar," ujar Diana.

"Apakah fakta sebenar awak tahu?," tanya saya lagi.

"Rupa rupanya dia photostat IC (kad pengenalan) saya banyak banyak dan beberapa kali menggunakan dokumen itu untuk mendapatkan kelulusan permohonan cuti. Bila saya bertanya kepada bos dia, bos dia bertanya kepada saya balik, bukankah dia (suami) hendak membawa awak dan anak pergi bercuti? Rupanya dia bercuti dengan kekasih, siap tinggal di chalet di tepi pandai lagi. Lebih menarik, setelah mempercayai dia memiliki kekasih, saya terpandang password handphone dia. Dia menggunakan tarikh lahir perempuan itu, hari, bulan dan tahun," katanya.

"Bila tidak ada duit, bagaimanakah awak mampu membelikan susu anak?," soal saya.

"Saya tidak membeli. Terpaksa meminjam susu daripada jiran sebelah rumah. Sebab waktu itu mereka juga mempunyai anak kecil sebaya dengan usia anak saya. Bayangkan perasaan saya pada waktu itu ... teramat malu bang apabila terpaksa meminjam sepeket susu untuk anak. Walau bagaimanapun saya memberitahu  kakak itu, kalau suami balik nanti dan membeli susu, saya akan gantikan semula susu dipinjamkan. Kakak, berkata, ambil sahajalah, tidak perlu diganti. Bila saya hendak melahirkan anak kedua, jiran sama juga menghantarkan saya ke hospital," katanya dengan nada sedih.

Kini Diana membesarkan anak lelaki dan perempuan, berusia dua setengah tahun dan setahun dua bulan tanpa suami.

"Bagaimanakah awak boleh bercerai dengan dia?," saya bertanya.

"Pada bulan Julai tahun lalu, saya dihubungi oleh ahli Rukun Tetangga di taman terletak kira-kira 7 kilometer dari rumah kami. Mereka memanggil saya untuk datang ke sebuah rumah di taman tempat mereka tinggal. Emak dan ayah hadir sekali kerana saya tidak memiliki transport.  Sebaik sahaja tiba di rumah teres dua tingkat itu, saya dipanggil naik ke bilik di atas. Waktu itu cuma ada tiga ahli Rukun Tetangga, saya, suami dan kekasih dia. Di dalam bilik, mereka bertanya, adalah awak ini isteri dia? Saya jawab, ya dan sekaligus mempamerkan kepada mereka surat nikah kami bersama surat kelahiran anak pertama. Tadi lelaki ini mendakwa, perempuan ini isteri dia, kata mereka. Saya jelaskan, saya isteri sah dia manakala perempuan ini kerani tempat dia bekerja. Perempuan ditangkap berkhalwat bersama suami berusia 26 tahun, seusia saya," ujar Diana.

Tambah Diana, rumah terbabit, milik kakak kekasih suaminya, ketika itu pulang bercuti bersama keluarga ke kampung.  

"Pada waktu itu, suami buat apa?," soal saya kepada Diana.

"Dia dan kerani itu di atas katil dalam keadaan berbogel dan hanya ditutupi selimut sahaja sebab ahli Rukun Tetangga tidak membenarkan mereka memakai pakaian. Beberapa minit kemudian, tiba-tiba suami saya mengamuk. Dia menjerit, aku ceraikan engkau talak tiga, perempuan babi! Perempuan hendak mampus!, katanya berang. Bagaimanapun lafaz talak tidak sah pada waktu itu kerana saya sedang mengandungkan 7 bulan anak kedua, perut membusung. Selepas itu saya ke mahkamah syariah, dibantu oleh tiga ahli Rukun Tetangga sebagai saksi lafaz cerai diungkapkan, kami bercerai pada bulan Jun 2011," kata Diana.

"Selepas itu awak bekerja di mana untuk menyara anak?," soal saya.

"Dengan hanya berbekalkan Sijil Rendah Pelajaran, setahun saya bekerja di pejabat sebuah syarikat dengan gaji bulanan RM1,100 termasuk bayaran overtime. Sewa rumah sahaja, RM400,  itu belum dicampurkan lagi dengan duit tambang pergi balik ke tempat kerja dan duit membeli lampin dan keperluan lain dua anak.  Gaji saya tidak mencukupi," keluhnya.

"Jadi?," tanya saya.

"Dalam keadaan terdesak, saya kemudian membuat keputusan menghubungi mummy di tempat kerja sebelum berkahwin. Dia menangis mendengar kisah hidup saya. Barangkali berasa simpati. dia menghulurkan kepada saya RM2,000 untuk membayar semua  hutang termasuk duit sewa rumah tertunggak setelah bercerai dengan suami. Sekarang saya kembali semula bekerja sebagai GRO dan setiap bulan mummy  akan memotong duit bayaran saya terima," terang Diana.

"Sekarang ini sudah ada boyfriend?"

Itu soalan terakhir saya ajukan kepada janda beranak dua itu.

"Kalau ada sekali pun, hanya suami orang sahaja lekat. Tetapi kalau abang ada duda hendak direkomenkan kepada saya, nanti tolong beri tahu, saya terus akan mendaftarkan diri," balasnya diringi hilai tawa.

0 Response to "ISTERI MENGANDUNG 7 BULAN DICERAIKAN SUAMI DITANGKAP KHALWAT"