#TRAGEDIDUKE : Saya menerima dengan hati yang terbuka - Datuk K


Minggu lalu, rakyat Malaysia menangisi episod duka yang dilalui oleh Aqila dan kakaknya, Amira selepas ibu bapa dan adik bongsu mereka terkorban dalam nahas jalan raya di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur.

Turut berkongsi rasa simpati, Siti hadir menziarahi kanak-kanak cilik itu selepas video yang menampilkan Amira meluahkan hasrat ingin bertemu dengannya menjadi viral kelmarin.

“Sebenarnya, hati saya sudah terdetik mahu berjumpa dengan Amira dan Aqila sejak saya membaca tentang tragedi yang menimpa ibu dan bapa mereka Sabtu lalu.

“Namun, hati saya bertambah sayu apabila menonton video Amira yang mahu bertemu dengan saya,” getus Siti hiba sambil menyeka air matanya.




Mengaku prihatin dan simpati terhadap nasib Amira dan adiknya, Aqila, Siti bagaimanapun menafikan dakwaan beliau berhasrat untuk mengambil mereka sebagai anak angkat kerana menghormati waris keluarga mangsa.

Keprihatinan penyanyi tersohor negara itu bagaimanapun membibitkan telahan awal daripada khalayak apabila sebuah blog mendakwa beliau berhasrat untuk menjadikan Aqila dan Amira sebagai anak angkatnya.

Ujar beliau, perkara tersebut terlalu sensitif untuk dibicarakan sementelah anak-anak kecil itu masih mempunyai waris yang mampu untuk menjaganya.

“Saya rasa isu ini terlalu sensitif untuk dibincangkan dengan lebih lanjut. Saya agak terkejut apabila mendapat tahu tentang dakwaan tersebut dan tidak sangka pula ada yang sanggup menulis perkara yang tidak benar.

“Bagi saya, kedua-dua mereka masih mempunyai waris serta keluarga yang lebih layak untuk menjaga dan menyayangi mereka. Namun, saya dan suami tetap akan membantu mana yang perlu,” jelasnya yang bercadang mahu memberikan bantuan berbentuk pendidikan kepada mereka menerusi Yayasan Nurjiwa.

Bagi menceriakan pasangan dua beradik itu, Siti turut menghadiahkan kepada mereka permainan tanah liat, anak patung dan beberapa pakaian.


Dalam pertemuan yang ditemani suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa itu, Siti sempat meluangkan masa selama hampir 40 minit beramah mesra dan bermain dengan Amira dan Aqila di rumah nenek mereka.

“Perasaan bercampur baur apabila melihat reaksi mereka sewaktu ternampak kelibat saya.

“Saya berharap kedatangan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan buat Aqila dan Amira,” jelasnya lagi.

Sementara itu, menurut Khalid, beliau tidak menolak jika ditakdirkan untuk menjaga dua beradik itu sebagai anak angkatnya bersama Siti.

“Saya anggap pertemuan ini seperti jodoh. Jika ditakdirkan untuk menjaga mereka, saya menerima dengan hati yang terbuka.

“Jika tidak, doakan rezeki kami supaya lebih murah supaya dapat terus memberikan bantuan bukan sahaja kepada mereka, tetapi kepada anak yatim piatu yang lain,” ujarnya.


0 Response to "#TRAGEDIDUKE : Saya menerima dengan hati yang terbuka - Datuk K"