Kementerian Kesihatan Tidak Menolak Kemungkinan Berlakunya Pencemaran Sampel






Kementerian Kesihatan tidak menolak kemungkinan berlaku pencemaran terhadap kedua-dua sampel coklat Cadbury yang diambil di pasaran untuk dianalisis di makmal sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua sampel coklat yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine) itu memang diambil di pasaran, bukan dari kilang dan kemungkinan berlaku pencemaran mungkin ada.

"Keputusan itu masih positif, tetapi kemungkinan sampel berkenaan diambil dari tempat yang tercemar tidak boleh diketepikan, dan kami tidak meragui ujian makmal itu tetapi sampel itu tidak diambil dari kilang," katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian dalam pada itu akan menyiasat untuk mengenal pasti punca pencemaran berkenaan.

Sehubungan itu Kementerian dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeratkan kerjasama dalam pemantauan dan usaha bersama untuk menyeragamkan penilaian makmal kepada tanda aras yang disahkan oleh Standard Malaysia seperti yang telah dinyatakan, katanya.

Pada 24 Mei lepas, Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan 'porcine' atau DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015.

Jakim pula semalam mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan oleh makmal Jabatan Kimia, tidak mengandungi DNA babi.

0 Response to "Kementerian Kesihatan Tidak Menolak Kemungkinan Berlakunya Pencemaran Sampel"