Tak Halang Artis Bercinta, Cuma Sahkan STATUS Sebelum ‘Sign’ Kontrak – David

Jika semalam, Zed Zaidi menerusi akhbar Harian Metro menyelar kontrak MIG Production milik Mejar K David Teo kerana tidak membenarkan artis naungannya bercinta dan berkahwin, hari ini David tampil memberi penjelasan melalui akhbar Sinar Harian.



Menurut David, dia sendiri tidak faham mengapa dirinya dipersalahkan dan dijadikan mangsa dalam kes pernikahan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel.

Dia turut menunjukkan isi kandungan kontrak yang disediakan di mana tiada sebarang undang-undang yang dibuat bagi menghalang mereka daripada bercinta.

“Namun, sebelum menandatangani kontrak, mereka perlu membuat pengesahan mengenai status adakah sudah mempunyai pasangan, bertunang ataupun berkahwin.

“Jika mereka bukan lagi ‘single’, kami akan menyediakan satu borang untuk diisi bagi mengesahkan status itu. Itu sahaja.

“Kami ada sembilan garis panduan berhubung kontrak itu termasuk mengelak daripada gejala maksiat, artis ditangkap khalwat dan anak luar nikah, menimbulkan kecemburuan di lokasi dan kontroversi serta syak wasangka.

“Selain itu, ia juga bertujuan mengelak daripada difitnah, diambil kesempatan oleh pihak lain, kehancuran rumah tangga, mengekalkan ikon kepada masyarakat dan mempertahankan maruah artis, keluarga serta syarikat,” ujarnya.

Jelas David lagi, pengalaman 13 tahun dalam industri ini menjadikan dia cukup masak dengan godaan dan cabaran yang perlu ditempuhi mereka yang bergelar artis.

“Lihat sahajalah Maya Karin, Farid Kamil, Nora Danish, Diana Amir dan Lisa Surihani. Saya tidak pernah melarang mereka untuk bercinta mahupun berkahwin. Malah, setiap kali jumpa Intan Ladyana ataupun Kamal Adli, soalan pertama saya ialah bila nak kahwin,” jelasnya lagi.

Dia yang menyifatkan kenyataan Zed Zaidi sebagai terburu-buru juga bersedia untuk bersemuka dengannya bagi membincangkan perkara itu.

Hai, memang cukup panas isu ini. Dari isu kahwin rahsia hinggalah melibatkan kontrak syarikat.

Apapun, kami harap penjelasan dari David ini dapat menjernihkan sedikit kekeruhan yang sedang berlaku kini.

0 Response to "Tak Halang Artis Bercinta, Cuma Sahkan STATUS Sebelum ‘Sign’ Kontrak – David"