Bicara Agama – Apakah Punca Suami Panas Baran?


Sebagai seorang isteri berkemungkinan besar akan berhadapan dengan situasi suami yang panas baran dan agak menakutkan. Suami panas baran boleh disebab oleh dua faktor, luaran (external) dan dalaman (internal). 

Faktor luaran melibatkan tempat kerjanya seperti tekanan dari pihak atasan, kegagalan suami menyiapkan kerja seperti diharapkan majikan, persaingan tidak sihat daripada rakan sekerja dan seterusnya. Boleh juga melibatkan sesuatu yang berkaitan dengan kerjanya, umpama kesesakan lalulintas pergi dan balik kerja, juga kos minyak dan tol. Semua ini menyebabkan suami rasa tertekan hingga akhirnya “melepaskan” tekanan itu kepada isterinya.

Isteri boleh membantu suami mengurangkan tekanan ini dengan kerap memberi motivasi kepada suami dalam kerjanya, mengungkapkan rasa berterima kasih kepada suami atas jerih payahnya mencari nafkah – sekalipun sedikit – untuk keluarga dan mendengar dengan penuh perhatian apa-apa keluhan suami terhadap kerjanya.

Faktor luaran tidak terhad kepada kerja suami tetapi juga boleh melibatkan sesuatu yang lain seperti masalah yang dihadapi oleh ahli keluarga suami. Justeru penting bagi isteri untuk cuba mengetahui faktor luaran yang memberi tekanan kepada suami lantas cuba membantu dengan memberikan motivasi dan sokongan. Faktor dalaman merujuk kepada suasana kehidupan sekeluarga. Kadangkala ada beberapa sikap isteri yang tidak disenangi oleh suami sehingga menyebabkan suami naik marah, seperti:

1. Isteri kerap meminta itu dan ini manakala suami dalam keadaan kewangan yang agak sempit.

2. Isteri terlalu asyik bermain dan melayan anak-anak hingga mengabaikan bermain-main dan melayan suami dengan mesra.

3. Isteri terlalu mengawal pergerakan suami atau mudah lagi pantas cemburu kepada tindak-tanduk suami yang sedikit mencurigakan.

4.Isteri tidak melaksanakan peranannya sebagai pemimpin di rumah sehingga akhirnya menimbulkan suasana tidak selesa bagi suami.

5.Isteri itu sendiri yang panas baran sehingga kemarahan kecil oleh suami dibalas dengan kemarahan daripada pihak isteri juga. Ini seterusnya dibalas kembali oleh suami dengan kemarahan yang lebih besar.

Justeru hendaklah isteri mengenal apa dan di mana kelemahannya dan cuba memperbaikinya. Kenalilah kelemahan dengan menuntut ilmu dalam subjek rumahtangga, hubungan suami-isteri dan perbezaan antara sikap lelaki dan sikap wanita. Jangan hanya bergantung kepada cara bertanya kepada isteri lain kerana kerap kali ia berakhir dengan masing-masing isteri menceritakan keburukan suami masing-masing tanpa solusi yang dapat mengubahnya.

1 Response to "Bicara Agama – Apakah Punca Suami Panas Baran?"

puteh berkata...

zaman sekarang isteri pun bertungkus lumus berkerja semata-mata mahu tolong bantu suami. dan kadang-kadang kerjanya lebih berat dari kerja si suami.

matlamat hanya satu untuk meringankan beban suami. tapi suami kadang-kadang lupa. dia fikir dia sahaja yang penat.

dia lupa apa pengorbanan isteri pada dia. sebab dia hanya fikir diri dia sahaja. perlu ditegaskan. sikap itu sama sekali perlu dibuang. agar kerukunan keluarga terpelihara.

penat isteri ? balik kerja urus anak. urus makan malam. urus rumahtangga.

dimana suami tatkala itu ?

so jangan bagi alasan suami penat. isteri lagi penat.

kadang-kadang suami lupa...punca kenapa si isteri berperangai cemburu...syakwasangka...marah2...

semuanya ada kaitan sedikit sebanyak dengan sikap sang suami. kalau sang suami tidak memupuk rasa-rasa negetif itu...insyaAllah isteri akan okey..semuanya ditangan suami.

p/s : kalau semua yang kamu buat tidak salah...agak-agak isteri anda akan buat masalah ?

tepuk dada tanya diri.