Harap Duit Pencen Bayar RM890,000 Pinjaman Ariff - Rosli Haron

Pesara pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berkhidmat selama 31 tahun, Rosli Haron, 56, kini buntu mengesan anak kedua daripada empat beradik itu setelah mencuba pelbagai usaha termasuk membuat laporan kepada polis, Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Ireland dan Kedutaan Ireland di sini, dalam tempoh tersebut.


Malah, katanya, dia dan isteri, Kamariah Hashim, 55, telah lapan kali ke Dublin dan Universiti College Dublin (UCD) untuk mencari anaknya itu yang merupakan ketua pengawas dan tokoh pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5 Wangsa Maju pada 2001.

Rosli memberitahu, Ariff, 28, yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat tajaan pinjaman boleh ubah daripada Petronas untuk melanjutkan pengajian   dalam bidang perubatan di United Kingdom (UK).

Menurutnya, meskipun demikian, Ariff tidak dapat menamatkan pengajiannya pada waktu ditetapkan iaitu pada 2008 dan perlu menyambung beberapa semester di universiti terbabit.


Malangnya, kata Rosli, Petronas enggan menaja perbelanjaan Ariff yang menelan kos lebih 38,000 Euro (RM160,000) setahun pengajian akademik dan kos sara hidup manakala dia pula tidak mempunyai cukup wang untuk menampungnya.

“Berikutan masalah kewangan, saya sarankan Ariff agar menyambung pengajiannya di Malaysia tetapi dia enggan kerana berazam hendak lulus dari UCD dan bermula daripada situ hubungan kami terjejas.

“Sehingga sekarang, saya dan isteri gagal bertemu Ariff dan menghubunginya walaupun telah mencuba pelbagai usaha sejak tiga tahun lalu,” katanya.


Tambah malang, Rosli memberitahu, dia kini berhadapan dengan saman pihak Petronas untuk menuntut wang pengajian Ariff berjumlah lebih RM890,000 daripadanya sebagai penjamin pertama.

“Mana saya ada cukup wang untuk menjelaskan wang sebanyak itu dengan pencen saya. Sudahlah kami sekeluarga menderita kerana kehilangan anak, kami kini berhadapan dengan saman pula,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterimanya, dia begitu bimbang Ariff terjebak dengan perkara negatif termasuk pergaulan bebas dan murtad.

Baca Kisah Perkahwinan Arif Alfian KLIK SINI

0 Response to "Harap Duit Pencen Bayar RM890,000 Pinjaman Ariff - Rosli Haron"