TYT Duta Melawat Mangsa 27 Ramadhan

Beberapa orang pelajar Malaysia lain menjadi mangsa keadaan apabila demonstrasi tercetus secara tiba-tiba di perkarangan jami’ usai program qiamullail yang didirikan bagi menyambut Malam Lailatul Qadar.



Bait Setinggan, Medan – Beberapa orang ahli Persatuan Pelajar Malaysia Syria teruja menerima kunjungan Duta Besar Malaysia ke Syria, TYT Mat Dris Yaacob ke rumah mereka semalam. Pertemuan yang tidak dirancang itu, bertujuan melawat keadaan Saudara Hairul Faizal yang mengalami kecederaan di kakinya dalam kejadian demonstrasi yang tercetus di Jami’ Rifai’e awal pagi sebelumnya.

Saudara Hairul Faizal, yang juga merupakan mantan Presiden PPMS bagi sesi 2007/2008, selain beberapa orang pelajar Malaysia lain menjadi mangsa keadaan apabila demonstrasi tercetus secara tiba-tiba di perkarangan jami’ usai program qiamullail yang didirikan bagi menyambut Malam Lailatul Qadar.

TYT Duta yang diiringi Timbalan Presiden PPMS, Saudara Anwar Majdi dan beberapa orang pegawainya, melahirkan kebimbangan terhadap isu keselamatan yang semakin memuncak. Walaupun keadaan di Dimashq sendiri dilihat masih stabil, beliau menyatakan komitmen pihak kedutaan yang sentiasa memantau keadaan dan bersedia pada bila-bila masa untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia tidak tergugat sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga.

Selain isu keselamatan, beliau juga sempat berkongsi pandangan berkaitan hubungan dua hala kedutaan dan pelajar, berikutan isu video TV Selangor yang menimbulkan sedikit polemik minggu lepas. Saudara Hafizullah Muda, mantan Timbalan Presiden PPMS sesi 2007/2008, yang terlibat di dalam wawancara bersama TV Selangor tersebut, menerangkan harapan sebenar pelajar yang tersirat. Tanpa menafikan bahawa pihak kedutaan sentiasa melakukan tugas dengan baik, beliau mengharapkan supaya TYT Duta meluangkan lebih masa untuk melihat sendiri permasalahan pelajar secara personal.

Presiden PPMS menyifatkan siri lawatan TYT Duta, pertamanya bersama exco PPMS yang antara lain membincangkan permasalahan khidmat MEPS dan VISA di ATM yang dihentikan perkhidmatannya akibat sekatan Amerika, dan pertemuan dengan mangsa ‘tragedi Lailatul Qadar Berdarah’ semalam, sebagai suatu permulaan baru yang baik.

“Kita merasa cukup berbesar hati dan berterima kasih apabila TYT Duta sendiri sanggup menerjah ke rumah pelajar melihat keadaan kami. Pendekatan beliau yang mesra dan kesanggupannya mengeluarkan sumbangan peribadi kepada pelajar yang cedera membuktikan tanggapan awal kepada beliau meleset. Ramadhan ini, pastinya menjanjikan hubungan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua entiti terbesar rakyat Malaysia di Syria, iaitu pihak kedutaan dan pihak persatuan sendiri.” kata Presiden PPMS ketika dihubungi.

0 Response to "TYT Duta Melawat Mangsa 27 Ramadhan"