Gerakan Komunis di Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia...

Semalam muka surat Utusan Malaysia menceritakan bagaimana unsur-unsur komunisme kelihatan cuba dihidupkan di Malaysia. Dua bulan yang lalu terdapat pemimpin masyarakat kaum tertentu atau tepatnya Cina cuba menghidupkan ideologi yang sama di Sarawak.

Semalam juga semasa bersarapan sekumpulan anak muda yang tak pastinya kerja apa, mengatakan kerajaan buat hal lagi dengan menyekat kebebasan berfikir dan berpersatuan dengan merujuk kepada surat khabar Utusan itu. Mereka menyentuh kisah Bersih yang hangat diperkatakan, mereka mengaitkan zaman sekarang adalah zaman globalisasi yang menghalalkan apa juga pemikiran. 


Aku terdiam, nak tegur bukannya hal aku tetapi untuk diam, ternyata ianya tidak aku pula aku bersetuju. Aku cuba memandang sinis mereka dan mungkin kerana mereka sedar aku merasa tidak setuju dengan pendapat mereka , maka mereka mula bertukar topik. Nasib, kalau tidak mahu aku tinggalkan bos aku di meja kami dan menyertai mereka. 'Bertukar fikiran' barangkali lebih tepat .
Tapi bila aku balik ke Pejabat, terfikir kalaulah aku nak 'bertukar fikiran' berkenaan komunis, apa yang aku tahu pula. Setakat kekejaman yang aku selalu baca dan Filem Bukit Kepong nampkanya terlalu dangkal. 
Aku terokai laman  Arkib Negara dan mencari gerakan komunis dan banyak yang anda boleh temui di situ. Dengan sedikit ilmu ini, pagi tadi aku ke kedai makan yang sama, harapannya kalaulah anak muda semalam masih bersarapan di situ, mungkin boleh bertukar fikiran, namun hampa pula rasanya.... mereka tidak kelihatan...

Antara laman yang menarik adalah kisah benar dari bekas pilot helikopter nuri yang aktif berbloging dan berkongsi pengalaman beliau berjuang menentang komunis iaitu di link http://xnuripilot.blogspot.com/
Mungkin boleh dikongsikan disini...
Fahaman Komunis di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1923. Beberapa sekolah malam telah ditubuh dan digunakan untuk menyebarkan dakyah kebangsaan Cina serta Komunisme. Di samping itu, pertubuhan-pertubuhan buruh Komunis telah juga muncul pada tahun 1926. Pada tahun tersebut, di Negeri Sembilan sahaja di mana terdapat ramai suku Hailam (suku Hailam dikatakan pendokong utama fahaman Komunis), terdapat tidak kurang sepuluh pertubuhan pekerja yang berkait rapat dengan pihak Komunis. 
Perkembangan seterusnya telah membawa kepada penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) pada April 1930 di atas arahan Pertubuhan Komunis Antarabangsa (Communist International atau Comintern) yang dipengaruhi oleh Rusia. PKM dikehendaki mendapatkan sokongan orang Melayu (terutamanya kaum petani) dan orang India. 
Serangan dan kebakaran yang dilakukan oleh 80 
orang pengganas di Pekan Simpang Tiga, Setiawan, 
Perak menyebabkan 1,000 orang kehilangan
rumah tangga dalam masa darurat, 17.5.1958
Bagaimanapun PKM merasa terdesak mendapatkan sokongan orang Cina kerana permusuhan di antara negeri China dan Jepun semakin serius di antara tahun 1931-1937. Oleh yang demikian, PKM cuba menjuarai kempen anti-Jepun di kalangan mereka dan kurang memberi perhatian kepada dasarnya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Bagaimanapun PKM tetap meneruskan kegiatannya menghasut kaum pekerja di ladang-ladang getah dan di bandar-bandar dengan matlamat mewujudkan kegelisahan perindustrian. Sepanjang lewat 1930an, pemogokan berlaku di merata tempat di samping rusuhan akibat kempen anti-Jepun.
Pada masa pendudukan tentera Jepun, kedudukan PKM menjadi lebih kuat kerana permuafakatan mereka dengan pihak British untuk menentang Jepun. Ahli-ahli PKM berpeluang mendapat latihan dan kemahiran dari segi ketenteraan daripada pihak British. British menubuhkan Sekolah Latihan Khas 101 di Singapura di bawah Kolonel Spencer Chapman untuk melatih beberapa pegawai dan anggota PKM bagi menjalankan kerja-kerja sabotaj dan penentangan terhadap tentera Jepun. PKM telah menghantar empat kumpulan mengandungi 165 orang anggota dengan setiap kumpulan menjadi teras kepada pasukan gerila di Selangor, Negeri Sembilan, Johor Utara dan Johor Selatan.
PKM mula mengatur strategi dengan menubuhkan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). Dari empat kumpulan yang asal, tentera tersebut berkembang menjadi lapan unit dengan tiap-tiap satunya menjalankan gerakan di setiap negeri. Setiap unit ini berhubung dengan Jawatankuasa Tentera Pusat PKM. Orang-orang Cina pula sentiasa bersedia memberikan sokongan tenaga manusia, wang ringgit, makanan, bekalan dan maklumat kepada MPAJA kerana bencikan layanan kasar askar-askar Jepun. SEAC (Southeast Asia Command) yang menubuhkan Force 136 juga telah bersetuju membekalkan alat-alat senjata, wang, bekalan dan pegawai-pegawai untuk melatih orang-orang PKM menggunakan senajata-senjata baru. Sebagai balasannya, MPAJA setuju memberikan kerjasama menentang Jepun. Pada Julai 1945, sebanyak 3,500 senjata kecil, peluru dan 500 pegawai dan anggota diberikan kepada MPAJA. Latihan juga dimulakan dengan bersungguh-sungguh tetapi gerakan tidak pernah dijalankan. Jepun menyerah kalah pada 16 Ogos 1945.
Wira negara yang terkubur di persada perjuangan. Apakah akan
datang kita mahu jadikan perjuangan mereka sia-sia? 
Dalam tempoh dua minggu di antara masa Jepun menyerah kalah dan pihak Tentera Berikat mendarat untuk menduduki semula Tanah Melayu, Bintang Tiga /MPAJA mengambil kesempatan keluar dari hutan dan merampas senjata-senjata Jepun dan Tentera Kebangsaan India. Mereka menguasai Tanah Melayu seolah-olah rejim komunis telah berkuasa sepenuhnya. Mereka menubuhkan 'Mahkamah Rakyat' dan menjatuhkan hukuman bunuh sewenang-wenangnya. Pentadbiran Tentera British (BMA) yang ditubuhkan pada 12 Disember 1945 terpaksa bertindak segera menghentikan aktiviti MPAJA dan memaksa pasukan tentera tersebut dibubarkan.
Namun begitu, semasa pemerintahan BMA, PKM tidak diharamkan. Kedudukannya yang agak bebas berbanding masa sebelum perang, menggalakkan PKM bergerak secara terbuka sebagai sebuah parti politik. Di antara tahun 1946 hingga awal 1948, PKM cuba memperkukuhkan kedudukannya dari segi politik meskipun masih memberi perhatian utama kepada pergerakan buruh. 


PKM cuba mempergunakan parti-parti radikal seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Malayan Democratic Union, Malayan Indian Congress (MIC), Hizbul Muslimin dan Saberkas (Kedah). PKM juga memainkan peranan penting dalam perjuangan PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat – All Malaya Council of Joint Action) untuk mengagalkan gagasan politik yang diperjuangkan oleh Raja-raja Melayu-UMNO-British. Dalam pada itu, PKM juga menyebarkan dakyah dan pengaruh ideologi mereka ke dalam persatuan-persatuan sekerja, belia dan penuntut-penuntut sekolah.  Mereka juga menjadi dalang dan penghasut kesatuan-kesatuan sekerja untuk melancarkan mogok hampir di seluruh negara. Sehingga 1947, lebih kurang 300 kes mogok berlaku dalam industri getah dan bijih timah.
Bagaimanapun dengan lahirnya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948, PKM menyedari perjuangannya melalui politik akan menemui kegagalan. Apabila pucuk pimpinan PKM diambil alih oleh Chin Peng, PKM mula menukar strategi dengan melancarkan gerakan-gerakan keganasan secara terbuka. PKM menubuhkan pasukan tentera gerila yang dinamakan Tentera Anti-British Penduduk Tanah Melayu (MPABA) untuk melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan mewujudkan kawasan-kawasan bebas (liberated areas). Beberapa buah unit yang ditubuhkan mula meresap ke khemah-khemah di hutan, menjalani latihan serta memperlengkapkan diri mereka dengan senjata-senjata. 


Perintah Ordinan Darurat dikuatkuasakan
Bermula Jun 1948, mereka melakukan keganasan dan pemberontakan dengan menyerang pekerja-pekerja estet dan lombong, menebas beribu-ribu batang pokok getah, merosakkan jentera lombong, membakar rumah pekerja, mengelincirkan keretapi dan membakar bas-bas. Beberapa orang kontraktor buruh di ladang getah dan lombong dibunuh termasuk pengurus-pengurus ladang bangsa Eropah. Gerakan ini dilakukan untuk melumpuh dan membinasakan ekonomi kapitalis dan sistem pertahanan British. Untuk mengawal keadaan huru-hara dan porak peranda ini, kerajaan terpaksa mengisytiharkan Darurat pada 16 Jun 1948 di Johor dan Perak. Darurat kemudian diisytiharkan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1948. Berikutan pengisytiharan darurat tersebut, PKM diharamkan.
Manakala itu, PKM telah menubuhkan Min Yuen, pasukan bawah tanah untuk menyelusup ke dalam masyarakat dengan tugas membekalkan gerila, perubatan, makanan, wang dan maklumat serta membunuh agen-agen dan pembelot. Orang-orang Asli juga dipaksa membantu mereka. PKM kemudiannya menubuhkan Tentera Pembebasan Bangsa-bangsa Tanah Melayu (Malayan Races Liberation Army) terutamanya untuk mendapat sokongan orang-orang India dan Melayu. MRLA mempunyai 4,000 anggota dan dibahagi kepada 10 rejimen yang berpengkalan di setiap negeri. Mereka melakukan serangan hendap ke atas konvoi-konvoi bersenjata, menyerang ladang-ladang, kampung-kampung dan balai-balai polis yang terpencil serta membunuh ejen-ejen dan penyokong anti-Parti Komunis Malaya. Mereka juga memperhebatkan kempen, propaganda dan ugutan untuk menarik penyokong-penyokong ke dalam perjuangan mereka. Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British telah dibunuh pada Oktober 1951 dalam satu serangan hendap oleh pengganas komunis.
Pemindahan penduduk ke kawasan putih dan kampung baru
bagi menyekat perkembangan dan kegiatan komunis
Pembunuhan Sir Henry Gurney telah merangsang gerakan drastik dan pelipatan kali ganda kekuatan tentera di Tanah Melayu. Dalam menangani kegiatan-kegiatan kejam, ganas dan subversif PKM, beberapa langkah dan tindakan telah diambil oleh kerajaan. Pada bulan Mei 1950, Lt. Jeneral Sir Harold Briggs selaku Pengarah Gerakan memperkenal dan melaksanakan rancangan 'Kampung Baru' yang didirikan di atas tanah pemberian Sultan. Melalui Rancangan Briggs (Briggs Plan) ini, setengah juta penduduk kawasan-kawasan terpencil dikumpul dan ditempatkan di kampung-kampung baru. Rancangan ini telah berjaya memutuskan bekalan makanan, senjata dan rangkaian pengaruh di antara penduduk dengan pengganas komunis (PKM). 
Walaupun PKM bertindak balas secara besar-besaran, kempen Jeneral Sir Gerald Templer yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi pada tahun 1952 telah berjaya memusnahkan 2/3 kekuatan PKM. Templer telah melaksanakan kempen serampang dua mata iaitu peperangan terhadap komunis dan peperangan terhadap fahaman perkauman. Perang Saraf dilancarkan oleh Templer dari tahun 1952 hingga 1954 untuk mempengaruhi dan memenangi hati dan minda komunis dan rakyat awam secara psikologi. 20 juta risalah digugurkan dari udara bagi menyeru anggota PKM menyerah diri serta soal selidik dibuat dari rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat berhubung aktiviti komunis. Pada tahun 1953, operasi Kawasan Putih dan Kawasan Hitam diisytiharkan bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar tidak bekerjasama dengan komunis serta mengekalkan kampung mereka bebas dari ancaman. Gerakan-gerakan sosial seperti lawatan pegawai-pegawai tinggi British ke hospital, pembinaan dewan orang ramai dan sebagainya telah menarik minat penduduk menyokong kerajaan.
Antara langkah membendung
kegiatan komunis
Keganasan yang dilakukan oleh PKM juga telah mengurangkan sokongan penduduk negara ini tambahan pula langkah-langkah kerajaan mengambil hati masyarakat Cina dengan pemberian hak taraf kerakyatan serta memupuk benih-benih semangat kenegaraan di kalangan penduduk Tanah Melayu telah menyukarkan perjuangan PKM untuk mencapai matlamatnya. Rang undang-undang Pindaan 1952 meningkatkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dari 10% kepada 55%. Usaha memperkenalkan kad pengenalan diri untuk semua penduduk Tanah Melayu secara tidak langsung mengagalkan cita-cita PKM untuk menakluki Tanah Melayu. Menjelang tahun 1953, PKM telah kehilangan 7,000 ahlinya. Chin Peng bersama beberapa ketua rejimennya terpaksa berundur ke selatan Thailand.
Penamatan perintah darurat
Pada 9 September 1955, tanpa campurtangan British, kerajaan Perikatan telah menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada anggota PKM dengan syarat PKM meletakkan senjata. Susulan dari tawaran tersebut, satu rundingan telah diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955 di antara wakil Parti Perikatan dan wakil PKM. YTM Tunku Abdul Rahman Putra selaku Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu disertai oleh Dato' Sir Tan Cheng Lock dan Sir David Marshall bertegas bahawa PKM mesti menyerahkan senjata sebagai syarat perletakan senjata. Setiausaha Agung PKM, Chin Peng tetap tidak mahu menerima syarat tersebut. PKM juga menolak tawaran pengampunan beramai-ramai yang diberikan oleh YTM Tunku. Walaupun rundingan tersebut gagal, namun PKM mengalami kekalahan siasah bila mana kerajaan Perikatan kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik serta tidak menerima fahaman komunisme di negara ini. Pada 1 September hingga 31 Disember 1957, sekali lagi tawaran penyerahan diri kali kedua kepada PKM diisytiharkan oleh kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Setelah 12 tahun berjuang, dengan 4,338 nyawa terkorban dari kalangan pasukan keselamatan dan orang awam (1865 pasukan keselamatan dan 2473 orang awam) serta 6,711 pengganas komunis, negara akhirnya mencapai kemenangan. Chin Peng beserta 400 saki-baki pengikutnya tiada jalan lain melainkan berundur ke selatan Thailand. Pada 29 Julai 1960, YTM Tunku Abdul Rahman Putra menandatangani surat pengisytiharan tamat darurat setebal 176 muka. Darurat secara rasminya diisytiharkan tamat pada 30 Julai 1960. Ordinan Peraturan Darurat 1948 juga dimansuhkan.
Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu,Tunku Abdul
Rahman Putra di majlis menandatangani Surat Pengisytiharan
Penamatan Darurat di Kuala Lumpur,29.7.1960
Setelah darurat tamat, pasukan keselamatan meneruskan operasi-operasi susulan dengan bantuan Angkatan Tentera Diraja Thailand dan polis di sempadan Malaysia-Thailand untuk menghapuskan saki baki kumpulan PKM yang bergiat semula. Setelah 34 tahun selepas Rundingan Baling, PKM akhirnya bersetuju mengadakan perjanjian damai. Kerajaan Thai menjadi orang tengah dalam proses rundingan perdamaian yang diadakan di Hadyai, Thailand. Pada 2 Disember 1989, perjanjian damai ditandatangani oleh Malaysia dan PKM dengan PKM bersetuju meletak dan menyerahkan senjata sepenuhnya serta menamatkan ancaman mereka di Tanah Melayu.
Rentetan Peristiwa ( 6 Jun-21 Julai 1948 )
TARIKH
PERISTIWA
6 Jun
Pesuruhjaya Tinggi mengumumkan tentang kejadian keganasan yang semakin berleluasa di ladang-ladang, lombong dan kilang yang dicetuskan oleh pihak komunis.
12 Jun
Tiga orang ketua Cina Kuomintang telah ditembak mati di rumah mereka di Johor oleh lima orang pengganas komunis.
14 Jun
Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu dalam satu sidang akhbar mengumumkan tentang peningkatan kejadian rusuhan oleh komunis yang melibatkan 10 kejadian pembunuhan dan 3 serangan ke atas pengurus ladang Eropah.
15 Jun
Pesuruhjaya Tinggi menemui wakil-wakil majikan dan ketua-ketua Majlis Perundangan Persekutuan dan Majlis Penasihat Buruh untuk membincangkan pergolakan yang sedang berlaku.
16 Jun
Tiga orang peladang bangsa Eropah telah dibunuh di Perak oleh beberapa orang Cina yang bersenjata. Darurat telah diisytiharkan di beberapa daerah di Perak dan Johor.
17 Jun
Darurat diisytiharkan di seluruh negeri Perak dan Johor. Polis membuat beberapa serbuan di pejabat-pejabat Parti Komunis Malaya termasuk Ibu Pejabat Persatuan Bekas-bekas Anggota MPAJA.  Peladang dan pekerja estet diberi perlindungan. 12 orang Cina bersenjata dan beruniform menyerang Balai Polis di Jeram Choh, Johor.
21 Jun
Polis membuat serbuan di seluruh negara dan 600 orang ditangkap.
28 Jun
Peraturan Darurat dikeluarkan yang membawa kepada penubuhan pasukan Konstabel Khas. 40 orang Cina bersenjata dan beruniform menyerang Balai Polis di Kuala Krau, Pahang.
29 Jun
Pengganas menyerbu pekan Jerantut, Pahang serta membakar  Balai Polis dan merampas barangan di kedai-kedai.
1 Julai
Pegawai jajahan berbangsa Cina telah dibunuh di Langkap, Perak.
5 Julai
Polis dan tentera digabungkan bagi membenteras keganasan komunis.
7 Julai   
Serangan udara dilancarkan ke atas khemah-khemah pengganas dalam hutan di Perak Utara.
8 Julai
Salah seorang ketua pengganas komunis, Tan Kan juga bekas ketua Kesatuan Buruh Johor ditembak mati dalam satu serangan balas di Johor.
9 Julai  
Dua peladang berbangsa Eropah bersama seorang Melayu dan india telah terbunuh dalam satu serangan di Batu Sawah, Pahang. Pengganas turut menyerang Balai Polis di Langkap, Selatan Perak dan seorang konstabel terkorban.
10 Julai
Polis dan askar Gurka berjaya membunuh 4 pengganas  komunis dan menawan 19 orang pengganas di Kuala Lumpur.

1 Response to "Gerakan Komunis di Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia..."

Tanpa Nama berkata...

SALAM ZIARAH TUAN..MOHON IZIN UNTUK COPY PASTE ARTIKEL TUAN YANG HEBAT NI KE DLM BLOG SAYA UTK TATAPAN DAN PENGAJARAN KITA SEMUA