Pelakon Yana Samsudin menegaskan dia berasa malu apabila terpaksa berpakaian seksi dan berkemban semata-mata untuk menjayakan filem Aku Masih Dara arahan Ahmad Idham.

Kata Yana, keputusan itu dibuat selepas memikirkan wataknya sebagai gadis yang bermasalah dalam filem tersebut mempunyai mesej yang kuat dan bukannya untuk mencari publisiti murah atau mahu mengumpan penonton ke pawagam semata-mata.

Sebaliknya, keputusan pelakon berusia 26 tahun itu menerima watak 'hitam' dan antagonis bernama Aleeysa itu didorong atas keinginan untuk mencabar kemampuan bakat lakonannya.

"Penampilan saya dalam filem terbaru Aku Masih Dara memerlukan saya tampil sebagai gadis tidak bermoral dan seksi.

"Ia bukan bertujuan untuk meraih publisiti atau memancing penonton menerusi gadis seksi yang ditampilkan semata-mata. Ia adalah watak yang mencabar, menarik dan paling 'hitam' pernah saya jayakan," katanya yang mengakui puas dengan watak itu.

Mengulas lanjut, Yana mengakui tidak menyukai watak itu pada awalnya. Namun, setelah berfikir sedalam-dalamnya mengenai watak dan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton, dia akhirnya akur menyahut cabaran tersebut.