Saman RM546 juta terhadap BN selesai luar mahkamah

KUALA LUMPUR 10 Mei - Saman yang difailkan oleh sebuah syarikat pembekal papan iklan untuk menuntut ganti rugi RM546 juta daripada Barisan Nasional (BN) atas dakwaan telah menamatkan perjanjian secara salah, hari ini berjaya diselesaikan di luar Mahkamah Tinggi di sini.

Penyelesaian antara Pentas Permata Sdn. Bhd. (PPSB) dengan BN direkodkan oleh Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin tanpa kebebasan memfailkan semula permohonan yang sama setelah peguam Katherine Kohlhoff Durai yang mewakili plaintif memaklumkan perkembangan kes saman tersebut.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos guaman.

Perkara tersebut diberitahu oleh peguam Abu Bakar Isa Ramat yang hadir mewakili BN sejurus prosiding dalam kamar itu selesai.

Sementara itu peguam utama Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili BN ketika dihubungi Utusan Malaysia, memberikan bayangan bahawa jumlah penyelesaian tersebut tidak melebihi 0.01 peratus dan ia berbentuk ex-gratia.

Bagaimanapun jumlah sebenar penyelesaian tidak dapat diberikan oleh Hafarizam kerana pihak-pihak masih berbincang.

Hafarizam turut melahirkan rasa lega kerana kes terhadap BN terutama yang melibatkan jumlah tuntutan yang begitu besar dapat diselesaikan tanpa sebarang penghakiman liabiliti terhadap BN dan plaintif.

PPSB memfailkan saman terhadap BN melalui pegawai amnya, Datuk Yaakob Mohammad pada 7 Disember 2007.

Dalam writ saman terpinda, plaintif menyatakan, melalui perjanjian bertarikh 5 Januari 2006, defendan telah melantik syarikat itu sebagai ejen untuk membekal, mendiri dan menyelenggara struktur papan iklan luaran bagi mempromosikan BN ketika pilihan raya umum.

Plaintif menyatakan, perjanjian tersebut memperuntukkan tempoh lima tahun dengan pilihan diberikan kepada syarikat itu untuk memperbaharuinya bagi tempoh lima tahun lagi.

Menurut plaintif, defendan telah gagal bekerjasama bagi memperoleh lokasi strategik dan menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan-papan iklan.

Plaintif berkata, defendan berhak menamatkan perjanjian itu pada bila-bila masa dalam tempoh enam bulan perjanjian ditandatangani.

Bagaimanapun, dakwa plaintif, notis penamatan khidmat syarikat itu oleh defendan telah dikeluarkan pada 5 Februari 2007 iaitu melampaui tempoh enam bulan yang ditetapkan.

Akibatnya, plaintif mendakwa telah mengalami kehilangan keuntungan sebanyak RM546,552,800 termasuk kos mendirikan papan-papan iklan luaran, pendapatan tahun pertama dan kedua serta jumlah pendapatan sepanjang 10 tahun.

Sehubungan itu, syarikat tersebut menuntut ganti rugi khas berdasarkan jumlah kerugian tersebut, ganti rugi am, kos, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

BN dalam pernyataan pembelaan bertarikh 9 April 2008 pula memohon supaya tuntutan plaintif ditolak dengan kos.

Defendan mendakwa, perjanjian tersebut ditamatkan kerana plaintif telah gagal menunjukkan sebarang hasil daripada tugas yang sepatutnya dijalankan di bawah perjanjian tersebut.

Defendan menyatakan, penamatan perjanjian terhadap plaintif adalah sah kerana keingkaran plaintif menjalankan tanggungjawab mereka di bawah perjanjian tersebut.

0 Response to "Saman RM546 juta terhadap BN selesai luar mahkamah"